Monday, October 19, 2009

Salam Ta'aruf...

Alhamdulillah, Selawat dan salam ke atas junjungan yang mulia, Rasulullah s.a.w dan seluruh kaum keluarganya serta para sahabat yang tidak pernah letih dan jemu dalam membawa risalah dan tabi’ tabiin yang telah menjadi rantai-rantai perjuangan sehingga Islam dapat tersebar ke seluruh pelusuk dunia para hari ini. Tidak lupa kepada insan-insan yang telah mencurahkan segala keringat dan darah dalam mempertahankan agama yang mulia ini dikala banyak anasir luar yang cuba untuk menjatuhkannya walaupun agama ini tidak akan runtuh selama-lamanya seterusnya sahabat-sahabat rakan seperjungan dan kaum keluargaku sekalian.

Aku bersyukur kepada Allah s.w.t kerana dengan limpah dan kurnianya pada hari ini aku dapat post juga artikel pembukaan aku yang pertama di dalam blog ini.

Diharapkan dengan terhasilnya blog ini, aku diberi peluang untuk berkongsi buah fikiran, pandangan, dan pengalaman. Mudah-mudahan ia akan menjadi sebagai salah satu usaha dakwah yang akan mendapat keredhaan dari Allah s.w.t dan supaya ia akan menjadi motivasi kepada diriku yang serba kekurangan ini.

Aku fikir tanggungjawab aku bukanlah hanya disekitar pembelajaran semata-mata tatkala dunia pada hari ini boleh diibaratkan seperti penjara bagi umat Islam. Seluruh dunia pada hari ini telah dikawal oleh suatu kuasa besar di sebalik tabir yang telah menjadikan banyak negara-negara Islam sebagai boneka mereka untuk merealisasikan dan mencapai matlamat mereka. Matlamat mereka tidak lain, hanyalah untuk meruntuhkan agama Islam. Perancangan mereka sudah terlaksana dengan jayanya apabila kita dapat melihat umat Islam pada hari ini cukup ramai bilangannya tetapi berapa ramai dikalangan mereka yang betul-betul dapat memahami dan menghayati Islam dengan sebaiknya. Lagi ramai kita dapat melihat umat Islam yang hanya berselindung disebalik nama Islam tetapi akhlak dan sifat mereka tidak kurang seperti syaitan durjana yang berusaha untuk menghancurkan Islam dari dalam. Justeru, aku fikir dunia pada hari ini sudah tidak layak untuk seorang pelajar Islam umumnya dan mahasiswa Islam khususnya untuk hanya memegang pen dan kertas, sentiasa dengan buku-buku pelajaran, serta nota-nota peperiksaan setiap masa tanpa mempunyai sensisitiviti untuk berjuang di dalam islam. Teringat aku kepada kata-kata Doktor Abdullah Nasih Ulwaani didalam buku beliau yang bertajuk ila warasatil anbiyai waddua'ti ila Allah, "maka telah berlalu keatas umat islam pada zaman ini beberapa tempoh yang lama, akan tetapi mereka ibarat seperti benda yang jumud iaitu tidak bergerak, bertiup taufan kesesatan dan telah meninggalkan ramai orang islam jihad mereka pada menyeru kepada jalan Allah s.w.t". Buku ini telah didiskusikan kepada kami ketika mana kami baru tiba di bumi Anbiya' ini. Pada pandangan aku buku ini cukup penting kepada pelajar Islam terutamanya mahasiswa Islam kerana sebagaimana yang disebut oleh penceramah, ramai mahasiswa terutamanya lepasan bumi Mesir yang telah kembali ke tanah air akan tetapi mereka merasa sudah cukup dengan hanya sekadar mengajar di sekolah2 tanpa memikirkan masalah2 kemasyarakatan yang sedang berlaku. Mereka hanya menyerahkan kerja menyuruh ma'aruf dan nahi munkar ini kepada pihak2 tertentu sahaja, sebagaimana yang disebut oleh muallif "kami tidak mengadu kerana sedikitnya ulama'2, fuqaha'2, kerana disisi kami terdapat ulama'2 yang cukup pakar didalam bidang feqah dan syariat, pemidato2 yang fasih, dan pakar2 didalam bidang undang2, sejarah dan lain2, akan tetapi kami mengadu kerana sedikitnya pendaie' yang ikhlas". Oleh sebab itu, aku rasa kenapa buku ini telah dipilih oleh pihak AJK sambutan mahasiswa baru shoubra sebagai bahan didalam program diskusi kitab yang pertama kami, tatkala kami tiba dibumi Mesir ini. Tidak lain adalah kerana untuk memperbetulkan dan memperbaharui semula niat kami didalam berjuang pada jalan Allah s.w.t ini.





Buku karangan Doktor Abdullah Nasih Ulwaani



Sahabat-sahabat jangan tersalah anggap bahawa aku mengatakan ilmu dan pelajaran itu tidak penting tetapi sekiranya dengan pelajaran itu menyebabkan kita terus leka dan hilang ruh memperjuangkan Islam di dalam diri kita, itu adalah silap. Ilmu yang ikhlas dituntut seharusnya membangkitkan dan menghidupkan ruh perjuangan di dalam hidup kita tetapi sekiranya sebaliknya yang berlaku, mungkin kita perlu menilai kembali sejauh mana keikhlasan kita menuntut ilmu. Adakah untuk mencapai keredaan Allah s.w.t ataupun kerana pengiktirafan dunia semata-mata. Sekali lagi aku ingin tegaskan bahawa sebagai seorang mahasiswa Islam, pelajaran tetap tanggung jawab mereka sebagai pengisian dan kekuatan kepada rohani tetapi agenda perjuangan secara praktikalnya tidak boleh dilupakan.

Perjuangan ini menagih kepada syabab-syabab (pemuda-pemuda) yang kuat dan berjiwa besar untuk terus berjuang. Kita tidak hanya boleh mengharapkan kepada golongan veteran sedangkan kita yang mempunyai potensi yang cukup besar untuk menyambung perjuangan mereka. Teringat aku akan kata-kata hikmah Suharto, bekas Presiden Indonesia suatu ketika dulu “ Sekiranya engkau memberikan aku 10 orang pemuda, nescaya aku akan menggegarkan dunia ini, tetapi sekiranya kamu memberikan aku 100 orang tua sekalipun, aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa”. Sungguh besar jiwa, tenaga dan pengaruh seorang pemuda dan kitalah pemilik gerangannya. Tetapi ingatlah, sekiranya kamu tidak hendak untuk bersama-sama dalam perjuangan Islam ini, Islam pun tidak berharap untuk kamu sama-sama berada dalam perjuangannya kerana dalam hakikat kehidupan ini, kita memerlukan Islam dan bukan Islam yang memerlukan kita.

Diharapkan blog ini akan menjadi sebagai satu wasilah atau saluran dakwah dalam usaha kita semua sebagai pejuang-pejuang agama Allah untuk menjulang kembali kegemilangan Islam yang pernah kita kecapinya dulu. Janganlah kita sekali-kali lupa bahawa kita pernah memerintah dunia suatu ketika dulu dan kita mampu dan kita pastikan, kita akan memerintahnya sekali lagi dengan syarat kita mempertaruhkan seluruh jiwa kita di atas jalan perjuangan ini. Janji Allah yang berharga dan mahal ini tidak hanya akan dapat kecuali dengan kita membayarnya dengan harga yang mahal.

Akhir kata, sekiranya terdapat kesilapan didalam penulisan aku ini, diharapkan teguran yang membina daripada sahabat2 dan pembaca2 sekalian. Ini kerana aku masih lagi bertatih didalam bidang penulisan ini. Wassalam. Takbir!!

0 comments: