Wednesday, May 12, 2010

HIKMAH DAN PENGAJARAN

Walaupun keputusan akhir yang kami terima sedikit mengecewakan, akan tetapi kami terimanya dengan redha dan hati yang terbuka. Mungkin ada seribu satu hikmah daripada peristiwa yang berlaku.

Imtihan yang akan berlansung pada bulan Julai nanti menyebabkan kami mempunyai masa yang panjang untuk mengulang kaji madah-madah untuk tahun 1 ini dengan sehabis-habisnya.
Imtihan yang bakal kami tempuhi ini penuh dengan cabaran kerana ia akan dikira dhur shani, tiada istilah dhur awal bagi kami, tetapi kami tetap bersyukur kerana dapat juga masuk imtihan. Alhamdulillah...

Dalam keadaan ini, suka aku mengajak sahabat-sahabat untuk muhasabah diri masing-masing. Mungkin apa yang berlaku ini ada hubung kait dengan kehidupan kita disini.
Janganlah sahabat-sahabat hanya menunding jari kearah orang lain sahaja.
Ingatlah ketika kita menunding jari kearah orang, satu jari sahaja yang ditunjukkan, dan tiga jari lagi kembali kearah kita. Ini menunjukkan kita perlu check diri kita yang lebih sebelum menyalahkan orang lain.
Tulisan aku kali ini bukanlah untuk menyalahkan sesiapa, tapi untuk diri aku sendiri dan buat renungan sahabat-sahabat sekalian.

KISAH PERANG UHUD

Peperangan ini berlaku pada 7 Syawal, tahun ke-3 hijrah. Peperangan ini tercetus kerana terdapat sebahagian pimpinan quraisy yang tidak terbunuh di dalam Ghazwatul Badar ( Peperangan Badar) telah bermesyuarat sesama mereka, untuk melancarkan serangan menuntut bela diatas kematian pejuang-pejuang mereka di dalam Peperangan Badar Al-Kubra. Hasilnya, mereka telah bersetuju untuk menyerang Rasulullah s.a.w di Madinah. Kesemua mereka yang keluar adalah seramai tiga ribu pejuang.

Dalam peperangan ini, Rasulullah s.a.w menempatkan lima puluh orang pemanah diatas bukit di belakang tentera Muslimin, dilantik 'Abdullah bin Jabir r.a sebagai ketua pasukan pemanah itu dan Rasulullah s.a.w berpesan kepada mereka : " Berjuanglah kamu didalam saff (barisan) kamu dan pertahankanlah belakang kami dari serangan. Jika kamu dapati kami menang janganlah kamu turun menyertai kami, begitulah juga jika kamu dapati kami diserang jangan kamu turun menolong kami, walaupun kami dimakan oleh burung-burung gagak sekalipun ". Begitu keras sekali pesanan Rasulullah s.a.w itu.

Pertempuran pun mula memarak, pertembungan semakin sengit. Orang Islam menunjukkan kemaraan mereka yang mengkagumkan. Allah s.w.t mengurniaka pertolonganNya kepada orang Islam dimana kaum musyrikin lari menyelamatkan diri masing-masing tidak menghiraukan harta dan perempuan-perempuan mereka. Orang Islam pun memburu dari belakang dan menawan apa yang boleh ditawan.
Di masa ini, pemanah-pemanah diatas bukit bercakap-cakap sesama mereka bila melihat kemenangan orang Islam. Sebahagian daripada mereka turun dari tempat pertahanan mereka dengan sangkaan bahawa peperangan sudah selesai.
Hanya tinggal 'Abdullah bin Jabir r.a bersama-sama sebilangan kecil sambil menyebut-nyebut pesanan Rasulullah s.a.w.

Kemudian Khalid bin Walid (ketika ini masih musyrik) melihat Bukit Uhud sudah kosong dari pertahanan, memimpin semula tentera musyrikin menyerang tertera Muslimin. Di masa ini orang Islam sudah terdedah dan dan mula dikuasai ketakutan. Dalam keadaan ini orang Islam berperang dalam tidak teratur lagi.

Akhirnya, tentera Muslimin mencapai kemenangan yang tipis dan ramai para sahabat syahid dalam peperangan ini.

PENGAJARAN

Kalau dilihat pada Peperangan Uhud ini, banyak pengajaran dan i'tibar yang dapat diambil. Kisahnya cukup panjang jika ingin diulas, cukuplah sekadar ringkasan sahaja.
Cumanya disini aku ingin tumpukan kepada peristiwa Rasulullah s.a.w menempatkan pasukan pemanah diatas Bukit Uhud dan memberikan pesanan mereka. Pesanan Rasulullah s.a.w itu sungguh tegas, menyuruh sahabat-sahabatNya supaya memegang amanah yang telah diberikan. Akan tetapi pada kemuncak peperangan ini, mereka seolah-olah lupa pesanan Rasulullah s.a.w itu.

Sahabat-sahabat, apakah tujuan kita datang ke Mesir ini hinggakan sanggup kita terbang sejauh beribu-ribu batu ?
Sebelum kita meninggalkan tanah air kita menuju ke Ardul Kinanah (Mesir) ini, apakah janji-janji yang telah kita lafazkan dihadapan ibu-bapa kita, ustaz-ustaz kita, orang kampung kita...
Tidak lain tidak bukan adalah untuk belajar bersungguh-sungguh supaya apabila pulang ke tanah air suatu hari nanti, kitalah orang yang dapat menabur bakti kepada masyarakat kampung kita . Bukan semua anak-anak muda kampung kita berpeluang untuk belajar sampai ke bumi anbiya' ini. Ini ialah suatu nikmat yang besar bagi kita. Begitu besar harapan masyarakat kampung terhadap kita.
Kita datang kesini membawa amanah dan harapan yang begitu besar terpikul diatas bahu kita.

Bila kita menjejak kaki dibumi kinanah ini, terjadi suatu kejutan budaya bagi kita, dengan suasana yang jauh dari keluarga, semua keputusan bergantung kepada kita, tidak ada paksaan dan tegahan dalam sesuatu perkara yang ingin kita lakukan.

Pada satu dua bulan pertama berduyung-duyung kita sama-sama menuju ke kelas, bertalaqqi dengan masyaikh-masyaikh. Akan tetapi semakin hari semakin lupus perkara ini. Seingat aku ada suatu hari tu sehinggakan hanya 3 orang sahaja pelajar kita yang hadir ke kelas.
" Fiin Malizi ? ". " Syahid 'ala sharir ? ". Soalan yang selalu ditanya oleh Sheikh setiap kali masuk ke kelas.

Sahabat-sahabat, apakah kita telah lupa ghayah (tujuan) kita ?. Dimanakah amanah yang telah dipertanggungjawabkan ?.
Sekiranya ketidak hadiran sahabat-sahabat ke kelas kerana pergi bertalaqqi dengan masyaikh-masyaikh diluar Shoubra tidak menjadi masalah, akan tetapi yang menjadi masalahnya ialah sahabat-sahabat.....

Diantara syarat-syarat menuntut ilmu ialah, " al-ilmu berta'allum " iaitu berhadapan dengan guru, atau dengan kata lain bertalaqqi.
Pernah sekali Exco Pendidikan dan Pengetahuan Shoubra cuba berkongsi masalah ini padaku, aku cuba untuk memberikan beberapa cadangan. Akan tetapi setelah difikirkan beliau menyatakan perkara ini dibimbangi akan menjadi masalah pada masa hadapan. Aku hanya mendiamkan diri.
Pernah juga beberapa kali didalam kelas ketika Sheikh sedang mengajar, mudir maahad datang ke kelas untuk melihat keadaan pelajar-pelajar, setiap kali datang beliau akan marah melihat kehadiran pelajar ke kelas yang kurang memuaskan.

Kejadian yang berlaku pada kita hari ini ialah ujian daripada Allah s.w.t untuk menyedarkan kita semua.
Kita diibaratkan seperti pasukan pemanah yang berada di Bukit Uhud, pasukan pemanah inilah yang menjadi tunggak kekuatan tertera Muslimin ketika itu. Begitulah juga dengan kita sahabat-sahabat, kitalah harapan bagi masyarakat di kampung kita. Jikalau kita sebagai harapan mereka tidak mempunyai kemantapan dalam ilmu dan sebagainya, bagaimana untuk kita membimbing mereka. Adakah kita ingin sampaikan ilmu yang dari lintasan hati kita, bukan daripada ilmu yang kita telah dipelajari.
Apabila kita sampai ke bumi Mesir ini kita seolah-olah lari turun dari Bukit Uhud. Lupa akan janji-janji yang telah kita lafazkan. Renunglah sahabat-sahabat.

" Hamba aku yang paling aku sayangi ialah yang paling banyak diuji ". (Hadis Qudsi).
Tanda Allah s.w.t sayang akan hambaNya ialah dengan diberikan ujian. Cuba kita lihat para nabi, semuannya diuji oleh Allah s.w.t, bahkan ujian yang mereka terima lebih berat dari apa yang kita tempuhi pada hari ini.
Cuba kita perhatikan pula firaun laknatullah, dia tidak pernah diuji oleh Allah s.w.t hatta dia tidak pernah merasai sakit sepanjang hidupnya.
Sahabat-sahabat, hari ini kita diuji oleh Allah s.w.t. Tidak lain tidak bukan ujian ini ialah untuk menguatkan lagi semangat kita semua, ingat sahabat-sahabat kita sekarang ini berada dibumi dimana Nabi Allah Yusof a.s diuji, begitu juga Nabi Allah Musa a.s diuji. Janganlah sahabat-sahabat futur (putus asa) dek kerana ujian yang kecil ini.

" Allah s.w.t tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya ", Surah Al-Baqarah, ayat 286.
Sahabat-sahabat, ini menunjukkan bahawa kita kuat. Kemampuan kita mungkin lebih daripada orang lain, hanya Allah s.w.t sahajalah yang tahu.
Sama-samalah kita ambil i'tibar dan pengajaran daripada peristiwa yang berlaku ini. Bukanlah tulisan aku ini hendak mengata dan mengajar kepada sahabat-sahabat, tidak lain tidak bukan ia adalah sebagai renungan dan muhasabah untuk diri penulis yang lemah ini.

Marilah kita teruskan berdoa kepada Allah s.w.t supaya dipermudahkan segala urusan ini.
Sama-sama jugalah kita berdoa mudah-mudahan Allah s.w.t memberi hidayah dan petunjuk kepada mereka-mereka yang berusaha untuk menyusahkan dan menjatuhkan kita.




Aubidullah Fahim Ibrahim,
Teratak 3 Syari' Sharobeam Beshay,
Shoubra Kaherah Mesir.

0 comments: