Saturday, March 27, 2010

Nasi Kerabu

Apabila disebut nasi kerabu, maka secara automatiknya orang akan tergambarkan Kelantan. Ini mungkin kerana nasi kerabu berasal daripada Kelantan, dan yang menjadi salah satu simbol makanan bagi Negeri Kelantan adalah nasi kerabu.

Menjadi suatu kecacatan jika seseorang yang asal usulnya dari Kelantan, akan tetapi tidak tahu cara pemprosesan nasi kerabu.
Pada minggu lepas, kami daripada DPM (Dewan Perwakilan Mahasiswa) Shoubra sempat untuk menyertai Bazaria Mutiara (BKAN Pinang) dan FIESTA (BKAN KL).
Menu kami ialah Nasi Kerabu dan Pasembor. Shoubra memang terkenal dengan dua menu ini. Aku dan beberapa orang sahabat dari Kelantan telah dilatih dan diajar cara-cara untuk membuat nasi kerabu. Sifu aku ialah Ustaz Salman. Beliau merupakan senior aku ketika di MTQ (MAIK) dahulu. Tujuan beliau melatih kami adalah supaya ada pengganti dan pewaris setelah beliau pulang ke Malaysia nanti.

Bagi aku, ini adalah suatu ilmu yang cukup berharga. Kami dilatih untuk menyediakan makanan bukan hanya untuk 5,6 orang, akan tetapi untuk 100, 200 orang. Memang perkara ini cukup susah jika tanpa latihan dan tunjuk ajar. Diantara kelebihan hidup di Shoubra ialah, semua perkara dilakukan oleh kami. Kerja yang sepatutnya dilakukan oleh akhawat, kami lakukan. Oleh itu banyak perkara-perkara baru yang dapat kami pelajari, perkara ini mungkin tidak dapat dirasai oleh mereka yang berada di Malaysia.

Suatu perasaan yang dapat aku rasai ialah, setelah keletihan menyediakan makanan, sampai tidak tidur malam. Akan tetapi setelah kita lihat mereka makan dengan gembiranya, secara tiba-tiba hilang keletihan tadi, dan berusaha untuk memasak lagi. SubhanAllah. Sungguh hebat perasaan ini. Adakah perasaan ini yang dikurniankan oleh Allah s.w.t kepada ibu-ibu, mereka telah memasak untuk kita selama bertahun-tahun tanpa ada rungutan dan keluhan.

Aku teringat kata-kata seniorku, " sini bukan tempat untuk mencari keuntungan untuk diri, akan tetapi untuk mencari pengalaman. Dan ini akan kita curahkan nanti ".

Mudah-mudahan apabila aku pulang ke Malaysia nanti aku dapat mencurahkan khidmat aku dan berbakti kepada masyarakat. InsyaAllah...



Aubidullah Fahim Ibrahim,
Teratak 3 Syari' Sharobeam Beshay,
Shoubra Kaherah Mesir.

Sunday, March 7, 2010

Al-Kisah.

Seorang Tok Batin di Bukit Ibam telah membeli sebuah motosikal terpakai. Seperti biasa motorsikal tersebut tidak mempunyai mud-guard, side-mirror malah plate nombor.

Suatu hari Tok Batin ingin pergi ke Pekan. Dengan semangat yang berkobar-kobar Tok Batin mengunggang motor kapcainya melalui denai yang berbengkang-bengkok. Tiba di pertengahan jalan ia telah ditahan oleh seorang anak buahnya. "Tok, tumpang ke Pekan". " Boleh, naik di belakang ", jawab Tok Batin sambil menunjuk ke belakang. Sampai di suatu tempat , ada seorang anak buahnya lagi menahan Tok Batin. " Tok, boleh tumpang, kite nak ke Pekan ni ".
" Apa salahnye, naiklah di belakang ".


Motor pun sampailah ke jalan besar. Ada kira-kira lima kilometer lagi baru sampai ke Pekan. Tok Batin pun memecut motorsikalnya dengan membawa dua orang anak buahnya itu dibelakang. Hembusan angin yang meniup tiga biji kepala tanpa topi keledar itu membuat perjalanan mereka sangat mengasyikkan. Tiba di kilometer dua, sekatan jalanraya sedang diadakan. Seorang polis trafik menghulur tangan menahan mereka. Tok Batin dengan muka selamba memecut motornya dengan bertambah laju melepasi sekatan tersebut. Melihat beberapa kesalahan yang dilakukan oleh Tok Batin, polis trafik terus mengejar beliau. Ia dapat memintas Tok Batin. Tok Batin dengan serta merta memberek motorsikalnya.

" Oi ape ni, nak bunuh kite ke. Berhenti depan kite macam ni. Tenguk belakang kite ade due orang anak buah kite. Kamu takpe le pakai topi keras, yang kite ni kepale togel, kalau jatuh tak ke kite mati ". Marah Tok Batin. " Pak Cik, kenapa bila saya tahan Pak Cik tak berhenti tadi ". " Oi, tak ade otak ke, belakang motor kite dah penuh, tak boleh tumpang lagi........ "

Monday, March 1, 2010

BAHASA ARAB...

Alhamdulillah diatas segala nikmat yang tidak terhitung banyaknya, sudah lama rasanya tidak menulis untuk blog aku ini. Dek kerana masa yang kurang mengizinkan dan ditambah pula dengan sifat malasku ini.

Bahasa Arab merupakan satu elemen yang begitu penting bagi mahasiswa dan mahasiswi terutamanya azhari yang berada di bumi Anbia ini untuk menggali dan mencari mutiara-mutiara ilmu. Tapi apa yang aku perhatikan selama hampir setengah tahun berada disini kebanyakan Azhari kurang menitik beratkan hal ini. Disebabkan itu jika dibandingkan mahasiswa/wi yang lepasan daripada Jordan, Syiria, Yaman, dan Tanah Haram lebih mantap penguasaan bahasa arabnya berbanding lepasan Mesir sendiri. Maksud aku disini penguasaannya bukan dari segi nahu dan sarfnya sahaja, tapi dari segenap sudut. Dari penguasaan bahasanya, balaghah dan sebagainya.
Suatu ketika dahulunya mahasiswa lepasan Mesir ini 'ditabik' dari segi bahasa arabnya.
Ada seorang ustazku semasa di Maahad Muhammadi Lelaki dahulu, beliau dijadikan tempat rujukan bagi semua ustaz-ustaz. Beliau adalah salah seorang pelajar lepasan Azhar.

Teringatku kisah yang pernah diceritakan oleh Ustaz Uthman Yahya ketika mana beliau menemuduga salah seorang pelajar lepasan Azhar. Disuruhnya untuk membaca kitab arab, maka dibacanya dengan nahu dan sarf entah kemana, baris lintang-pukang. Tidak mengikut kaedah-kaedah bahasa arabnya.

Memang benarlah ada sesetengah pelajar-pelajar pondok memandang remeh terhadap golongan Azhari pada hari ini. Sebelum aku merantau dibumi Mesir ini, sempat beberapa bulan aku menadah kitab thurath dipondok. Tujuan sebenar aku adalah untuk mengambil pengalaman hidup dipondok dan keberkatan daripada Tuan Guru sendiri. Banyak pengalaman-pengalaman baru yang aku dapat selama berada disana. Ada sesetengah pondok, mereka melarang untuk dibina bangunan yang baru untuk menggantikan pondok-pondok yang uzur itu. Bukan bermaksud disini mereka menolak kemajuan. Akan tetapi, tujuan yang utama adalah untuk mendidik pelajar-pelajar itu sendiri. Memang aku sendiri telah jatuh hati terhadap kehidupan disana. Mungkin dilain masa aku akan ceritakan pengalaman manis tersebut, dapat bergaul mesra dengan Tuan Guru dan sebagainya.
Apabila kali pertama mendengarnya terasa marah juga, tapi apabila sampai sendiri dibumi Mesir ini barulah aku tahu realitinya. Siapakah yang harus dipersalahkan???...Jawapannya kita sendiri, kerana kurang mengambil cakna terhadapnya. Kita mesti mengakui kelemahan yang ada pada diri kita kerana kecuaian kita sendiri.

Sehubungan itu sebagai pelengkap kepada bagi setiap penuntut ilmu dalam merealisasikan hasrat ini, penguasaan Bahasa Arab yang mantap amat diperlukan.
Penulis sendiri ketika ini sedang mengikuti kelas pengajian bahasa arab di Markaz Nil, apa yang menarik tentangnya ialah kemahiran yang diajar ialah merangkumi semua, bukan sahaja kaedah nahu sarf sahaja. Sekelas dengan pelajar-pelajar daripada negara-negara seperti Turki, China, Tarjikistan dan sebagainya dapat melatih penulis untuk berkomunikasi dalam bahasa arab. Belajar dan dapat beramal.
Ada seorang teman sekelas penulis berasal dari negara Thailand. Beliau telah berada dibumi Mesir ini selama 5 tahun. Akan tetapi beliau mengikuti juga kelas ini kerana ingin mendapatkan bahasa arab fusha. Kaedah nahu sarf dan bahasa arab amminya sudah cukup mantop. Apabila ditanya, tujuannya ialah tidak lain tidak bukan untuk memperkukuhkan bahasa arab fusha sahaja.
Ustazku pernah menyebut, " anta kalu hebat/ masyi bahasa arab ammi pon, bilo blik Malaysia anta x guno doh bahaso tuh. Nk baco kitab, nk kechek dgn org2 laen guno bahaso arab fusha doh. Nk faham maksud al-Quran pon guno bahaso fusha. Ko anta nk baco kitab guno bahaso ammi. Bahaso ammi nie maso dok Mesir jah guno nyo, jd x pyh la dok tekan2 sngt utk bahaso ammi. Kalu anta mahir bahaso fusha, bahaso ammi tu akan pandai dgn sndiri ".
Oleh itu ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa bahasa ammi ini musuh bagi bahasa fusha. Kerana apa, kerana ia memecah-belahkan kaum Muslimun. Sedangkan bahasa arab fusha ia menyatukan umat Islam semua, setiap masa dan ketika. Contohnya, lihat sahaja pada al-Quran al-Karim, semua umat diseluruh dunia membacanya dengan menggunakan bahasa arab fusha.

Sebahagian guru-guru kita menyebutkan bahawa ilmu nahu dan sarf ini diibaratkan seperti Ibu dan Ayah bagi seorang anak dara sunti.Anak dara yang maksudkan disini ialah ilmu-ilmu lain yang terdapat di dalam Islam seperti Tafsir, Hadis, Fiqh dan lain-lain. Maka jika ingin mendapatkan anak dara tersebut, mahu tidak mahu perlu bagi kita untuk mendekati ibu dan ayah bagi anak dara tersebut. Jika kita dapat menawan hati ibu dan ayah tersebut maka dengan mudah kita akan dapat menawan hati anak dara tersebut. Ini sekadar perumpamaan. Maksudnya jika kita mampu menguasai ilmu nahu dan sarf dengan baik maka ilmu-ilmu lain juga akan menjadi mudah untuk kita fahami.

Tidak akan hilang dan rosak bahasa yang turun dengannya al-Quran.


Aubidullah Fahim Ibrahim,
Teratak no.3, Syari' Sharobeam Beshay,
Shoubra, Kaherah, Mesir.

Monday, February 8, 2010

AYYAMUL UTLAH.

maka bermula lah fatrah cuti pertengahan tahun bagi kami di ardul kinanah ini. Siang berganti malam, sedar tidak sedar sudah 4 bulan 6 hari aku berada di bumi Mesir ini. Begitu cepat masa ini berlalu.
Benarlah Hadis Nabi s.a.w, daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; “Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api”.
H.R Tirmizi

Berada jauh di perantauan, jauh daripada keluarga tercinta, hati ini begitu merintih kerinduan. Akan tetapi apakan daya.." Oh!, 2 minggu sahaja cuti ". getus hati ku. "Sempatkah untuk aku mengambil nafas melepaskan lelah seketika, untuk ku menqadakan tidur yang tidak kesudahan puasnya". ish!, apakah perasaan ini, nauzubillah. Tidak patut bagiku seorang penuntut ilmu untuk berfikiran seperti itu. Akan tetapi, sungguh lemah diriku ini. Ditambah pula dengan tiupan angin sejuk yang mengulik jiwa, terkadang-kadang dihanyutkan oleh bungkusan 'saratoga'.
Teringat kata-kata para ulama', "jikalau anda menuntut ilmu agama siang dan malam, dan tidur itu hanya dijadikan sekadar hajat sahaja selama 10 tahun berterusan, maka anda baru sahaja memperolehi kunci kepada ilmu tersebut". Subhanallah, masih jauh kesungguhanku dalam menuntut ilmu ini.
"Ya Allah, kau tetapkanlah hatiku ini dalam menuntut ilmu Mu ya Allah".

Ramai sahabat-sahabatku tidak melepaskan peluang dalam fatrah cuti ini untuk mengunjungi negara-negara berhampiran, seperti Jordan, Syiria, Yaman, Turki, dll. Ini untuk mereka yang mempunyai bajet yang lebih sahaja. Teringin juga hati ini jika diizinkan oleh Allah s.w.t suatu hari nanti untuk memijak bumi negara-negara tersebut. InsyaAllah...
Aku pula, apakah perkara-perkara yang dapat aku lakukan dalam mengisi masa teruang ini. Hendak berjaulah ke luar negara tidak mempunyai wang. Kalau boleh aku ingin isikan dengan perkara-perkara bermanfaaat.

Beberapa hari lepas aku terbaca satu iklan di facebook mengenai satu kursus yang akan diadakan dalam masa cuti ini. Iaitu Kursus Adobe Photoshop, yang akan berlangsung di rumah BKAN Pulau Pinang selama 3 hari dengan bayaran yang begitu murah. Tidak boleh dilepaskan peluang ini, getus hatiku. Aku begitu meminati seni grafik ini, tetapi kemahirannya masih kurang. Hanya sempat belajar melalui sahabat-sahabat sewaktu di MTQ dahulu.
Alhamdulillah masih terdapat kekosongan untuk aku menyertainya.

Minggu pertama ini akan aku isikan dengan menyertai kursus tersebut. Manakala minggu kedua, apa yang perlu aku buat ?. Apakah perkara yang aula aku lakukan???...
InsyaAllah jikalau diberikan kemudahan oleh Allah s.w.t aku ingin menziarahi sahabat-sahabat yang berada di luar muhafazah Kaherah. Sudah bising kedengaran mereka asyik bersungut padaku, bilakah aku ingin menziarahi mereka. Sejak aku sampai ke sini belum sempat untuk bertemu mata dengan mereka.
Sahabat-sahabat sewaktu kami sama-sama belajar di Malaysia suatu ketika dahulu. Ada diantara mereka yang sudah beristeri, dan sudah mempunyai 2 orang anak. Sungguh irihati aku melihat keadaan mereka, sudah mempunyai zuriat sebagai penyejuk mata. Aku!!!, masih keseorangan.
Akan tetapi aku bersyukur kepada Allah s.w.t dengan keadaanku ini, banyak hikmah disebaliknya. Aku fikir aku masih belum mampu untuk menguruskan rumah tangga, sedangkan diri sendiri pun belum terurus. Aku serahkan jodohku kepada Dia yang Maha Esa. Semoga dikurniakan kepadaku isteri dan anak-anak yang penyejuk mata dan menggembirakan hati.

Mungkin fatrah cuti selama 2 minggu ini terasa sangat singkat bagiku, banyak perkara yang aku tangguhkan ingin aku tunaikan kerana sebelum ini tidak mempunyai masa yang sesuai.
Teringat aku sabda Nabi s.a.w "maka sesungguhnya bersibuk-sibuk dalam menuntut ilmu itu adalah sebaik-baik ketaatan kepada Allah s.w.t".
Mudah-mudahan aku dimasukkan didalam golongan tersebut.
Amin.....

Satu lagi tempat yang wajib aku kunjungi iaitu 'ma'rad', (Pesta Buku Antarabangsa Egypt). Peluang ini tidak akan aku lepaskan kerana ianya hanya berlangsung satu kali setahun.
Mengikut fakta yang aku terbaca, pesta buku Egypt ini adalah pesta buku yang kedua terbesar didunia selepas pesta buku di negara German. Sungguh beruntung rasanya kerana berada di bumi Mesir ini, ada kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri.
"Ya Allah, berikan lah daku kemudahan dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Tiada yang dapat memberi kemudahan melainkan Engkau Ya Allah".


Aubidullah Fahim Ibrahim,
Teratak
3 Syari' Sharobeam Beshay,
Shoubra Kaherah Mesir
.

Thursday, February 4, 2010

HADIAH TERBAIK DAN TERBURUK

Seorang ibu yang dermawan telah menghadiah seekor kambing kepada Luqman al-Hakim Rahimahullah seraya berpesan: "Sembelihlah kambing ini dan berikan saya bahagian yang terburuk daripadanya untuk saya makan."

Setelah disembelih, dikirimkan kepada ibu tersebut hati dan lidah kambing itu.

Beberapa hari kemudian, ibu itu sekali lagi menghadiahkan seekor kambing dan berpesan agar sesudah disembelih dikirimkan juga kepadanya sebahagian daripadanya. Pada kali yang kedua ini, bukan lagi bahagian yang terburuk yang dipesankannya, tetapi dimintanya bahagian yang terbaik daripada kambing itu.

Setelah kambing disembelih, Luqman al-Hakim mengirim hati dan lidah juga kepada ibu yang dermawan itu.
"Kenapakah tuan mengirimkan kepada saya lidah dan hati ketika saya meminta bahagian yang terburuk, dan kenapakah yang itu juga dikirimkan ketika saya memesankan bahagian yang terbaik daripadanya?" tanya ibu tersebut kepada Luqman.
Luqman menjawab: "Hati dan lidah amatlah baik ketika baiknya dan apabila keduanya buruk maka amatlah pula buruknya."

Mendengar jawapan itu, mengertilah ibu itu akan maksud Luqman, kerana hati dan lidah itu adalah pokok segala kebaikan; begitu juga sebaliknya dari hati dan lidah itu terbit segala kejahatan dan keburukan.

- sama2 kita muhasabah diri kita masing2 -