Tuesday, May 25, 2010

12 BARISAN

Suatu ketika Muaz bin Jabal r.a mengadap Rasulullah s.a.w dan bertanya baginda: " Wahai Rasulullah tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah s.w.t, ertinya:
((Pada sangkala ditiup, maka kamu sekelian datang berbaris-baris)). "
(Surah al Naba')

Mendengar pertanyaan ini, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata. Lalu menjawab: " Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada aku, perkara yang sangat besar, bahawa umatku masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri...".
Maka dinyatakan apakah 12 barisan tersebut.

BARISAN PERTAMA
Diiringi dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: " Mereka ini adalah orang-orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya. Maka demikian balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEDUA
Diiringi dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih:" Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka...."

BARISAN KETIGA
Mereka berbentuk keldai sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kalajengking. " Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEEMPAT
Diiringi dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut. " Mereka itu adalah orang yang berdusta di dalam jual beli. Maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka..."

BARISAN KELIMA
Diiringi dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu Allah s.w.t menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar. "Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah s.w.t. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEENAM
Diiringi dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan. " Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KETUJUH
Diiringi dari kubur tanpa mempunyai lidah dari mulut mereka mengalir nanah dan darah. " Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KELAPAN
Diiringi dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas. " Mereka adalah orang yang berbuat zina.Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KESEMBILAN
Diiringi dari kubur dengan wajah hitam gelap dan bermata biru sementara di dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. " Mereka adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya.Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KESEPULUH
Diiringi dari kubur dalam keadaan tubuh mereka yang penuh dengan penyakit sopak dan kusta." Mereka adalah orang yang derhaka kepada ibubapa.Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KESEBELAS
Diiringi dari kubur mereka dalam keadaan buta mata kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran. " Mereka adalah orang yang minum arak.Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

BARISAN KEDUA BELAS
Mereka diiringi dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama Mereka melalui titian sirat seperti kilat. . Maka datang suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan:
"Mereka adalah orang yang banyak berbuat baik, mereka menjauhi perbuatan derhaka, memelihara solat, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih.."

Manusia tidak terlepas dari kesalahan dan dosa. Tapi Allah swt memberi jalan untuk kita bagaimana untuk menghapuskan kesalahan dan dosa makhluk insan ciptaanNya. Marilah kita sama-sama bertaubat sebelum terlambat. Semoga segala kesalahan dan dosa kita diampunkan oleh Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun segala dosa. Semoga bila kita dibangkitkan kita berada bersama di dalam Barisan Kedua Belas itu.
Amin ya Rabbal Aalamin.

Aubidullah Fahim Ibrahim,
Teratak 3 Syari' Sharobeam Beshay,
Shoubra Kaherah Mesir.

Wednesday, May 12, 2010

HIKMAH DAN PENGAJARAN

Walaupun keputusan akhir yang kami terima sedikit mengecewakan, akan tetapi kami terimanya dengan redha dan hati yang terbuka. Mungkin ada seribu satu hikmah daripada peristiwa yang berlaku.

Imtihan yang akan berlansung pada bulan Julai nanti menyebabkan kami mempunyai masa yang panjang untuk mengulang kaji madah-madah untuk tahun 1 ini dengan sehabis-habisnya.
Imtihan yang bakal kami tempuhi ini penuh dengan cabaran kerana ia akan dikira dhur shani, tiada istilah dhur awal bagi kami, tetapi kami tetap bersyukur kerana dapat juga masuk imtihan. Alhamdulillah...

Dalam keadaan ini, suka aku mengajak sahabat-sahabat untuk muhasabah diri masing-masing. Mungkin apa yang berlaku ini ada hubung kait dengan kehidupan kita disini.
Janganlah sahabat-sahabat hanya menunding jari kearah orang lain sahaja.
Ingatlah ketika kita menunding jari kearah orang, satu jari sahaja yang ditunjukkan, dan tiga jari lagi kembali kearah kita. Ini menunjukkan kita perlu check diri kita yang lebih sebelum menyalahkan orang lain.
Tulisan aku kali ini bukanlah untuk menyalahkan sesiapa, tapi untuk diri aku sendiri dan buat renungan sahabat-sahabat sekalian.

KISAH PERANG UHUD

Peperangan ini berlaku pada 7 Syawal, tahun ke-3 hijrah. Peperangan ini tercetus kerana terdapat sebahagian pimpinan quraisy yang tidak terbunuh di dalam Ghazwatul Badar ( Peperangan Badar) telah bermesyuarat sesama mereka, untuk melancarkan serangan menuntut bela diatas kematian pejuang-pejuang mereka di dalam Peperangan Badar Al-Kubra. Hasilnya, mereka telah bersetuju untuk menyerang Rasulullah s.a.w di Madinah. Kesemua mereka yang keluar adalah seramai tiga ribu pejuang.

Dalam peperangan ini, Rasulullah s.a.w menempatkan lima puluh orang pemanah diatas bukit di belakang tentera Muslimin, dilantik 'Abdullah bin Jabir r.a sebagai ketua pasukan pemanah itu dan Rasulullah s.a.w berpesan kepada mereka : " Berjuanglah kamu didalam saff (barisan) kamu dan pertahankanlah belakang kami dari serangan. Jika kamu dapati kami menang janganlah kamu turun menyertai kami, begitulah juga jika kamu dapati kami diserang jangan kamu turun menolong kami, walaupun kami dimakan oleh burung-burung gagak sekalipun ". Begitu keras sekali pesanan Rasulullah s.a.w itu.

Pertempuran pun mula memarak, pertembungan semakin sengit. Orang Islam menunjukkan kemaraan mereka yang mengkagumkan. Allah s.w.t mengurniaka pertolonganNya kepada orang Islam dimana kaum musyrikin lari menyelamatkan diri masing-masing tidak menghiraukan harta dan perempuan-perempuan mereka. Orang Islam pun memburu dari belakang dan menawan apa yang boleh ditawan.
Di masa ini, pemanah-pemanah diatas bukit bercakap-cakap sesama mereka bila melihat kemenangan orang Islam. Sebahagian daripada mereka turun dari tempat pertahanan mereka dengan sangkaan bahawa peperangan sudah selesai.
Hanya tinggal 'Abdullah bin Jabir r.a bersama-sama sebilangan kecil sambil menyebut-nyebut pesanan Rasulullah s.a.w.

Kemudian Khalid bin Walid (ketika ini masih musyrik) melihat Bukit Uhud sudah kosong dari pertahanan, memimpin semula tentera musyrikin menyerang tertera Muslimin. Di masa ini orang Islam sudah terdedah dan dan mula dikuasai ketakutan. Dalam keadaan ini orang Islam berperang dalam tidak teratur lagi.

Akhirnya, tentera Muslimin mencapai kemenangan yang tipis dan ramai para sahabat syahid dalam peperangan ini.

PENGAJARAN

Kalau dilihat pada Peperangan Uhud ini, banyak pengajaran dan i'tibar yang dapat diambil. Kisahnya cukup panjang jika ingin diulas, cukuplah sekadar ringkasan sahaja.
Cumanya disini aku ingin tumpukan kepada peristiwa Rasulullah s.a.w menempatkan pasukan pemanah diatas Bukit Uhud dan memberikan pesanan mereka. Pesanan Rasulullah s.a.w itu sungguh tegas, menyuruh sahabat-sahabatNya supaya memegang amanah yang telah diberikan. Akan tetapi pada kemuncak peperangan ini, mereka seolah-olah lupa pesanan Rasulullah s.a.w itu.

Sahabat-sahabat, apakah tujuan kita datang ke Mesir ini hinggakan sanggup kita terbang sejauh beribu-ribu batu ?
Sebelum kita meninggalkan tanah air kita menuju ke Ardul Kinanah (Mesir) ini, apakah janji-janji yang telah kita lafazkan dihadapan ibu-bapa kita, ustaz-ustaz kita, orang kampung kita...
Tidak lain tidak bukan adalah untuk belajar bersungguh-sungguh supaya apabila pulang ke tanah air suatu hari nanti, kitalah orang yang dapat menabur bakti kepada masyarakat kampung kita . Bukan semua anak-anak muda kampung kita berpeluang untuk belajar sampai ke bumi anbiya' ini. Ini ialah suatu nikmat yang besar bagi kita. Begitu besar harapan masyarakat kampung terhadap kita.
Kita datang kesini membawa amanah dan harapan yang begitu besar terpikul diatas bahu kita.

Bila kita menjejak kaki dibumi kinanah ini, terjadi suatu kejutan budaya bagi kita, dengan suasana yang jauh dari keluarga, semua keputusan bergantung kepada kita, tidak ada paksaan dan tegahan dalam sesuatu perkara yang ingin kita lakukan.

Pada satu dua bulan pertama berduyung-duyung kita sama-sama menuju ke kelas, bertalaqqi dengan masyaikh-masyaikh. Akan tetapi semakin hari semakin lupus perkara ini. Seingat aku ada suatu hari tu sehinggakan hanya 3 orang sahaja pelajar kita yang hadir ke kelas.
" Fiin Malizi ? ". " Syahid 'ala sharir ? ". Soalan yang selalu ditanya oleh Sheikh setiap kali masuk ke kelas.

Sahabat-sahabat, apakah kita telah lupa ghayah (tujuan) kita ?. Dimanakah amanah yang telah dipertanggungjawabkan ?.
Sekiranya ketidak hadiran sahabat-sahabat ke kelas kerana pergi bertalaqqi dengan masyaikh-masyaikh diluar Shoubra tidak menjadi masalah, akan tetapi yang menjadi masalahnya ialah sahabat-sahabat.....

Diantara syarat-syarat menuntut ilmu ialah, " al-ilmu berta'allum " iaitu berhadapan dengan guru, atau dengan kata lain bertalaqqi.
Pernah sekali Exco Pendidikan dan Pengetahuan Shoubra cuba berkongsi masalah ini padaku, aku cuba untuk memberikan beberapa cadangan. Akan tetapi setelah difikirkan beliau menyatakan perkara ini dibimbangi akan menjadi masalah pada masa hadapan. Aku hanya mendiamkan diri.
Pernah juga beberapa kali didalam kelas ketika Sheikh sedang mengajar, mudir maahad datang ke kelas untuk melihat keadaan pelajar-pelajar, setiap kali datang beliau akan marah melihat kehadiran pelajar ke kelas yang kurang memuaskan.

Kejadian yang berlaku pada kita hari ini ialah ujian daripada Allah s.w.t untuk menyedarkan kita semua.
Kita diibaratkan seperti pasukan pemanah yang berada di Bukit Uhud, pasukan pemanah inilah yang menjadi tunggak kekuatan tertera Muslimin ketika itu. Begitulah juga dengan kita sahabat-sahabat, kitalah harapan bagi masyarakat di kampung kita. Jikalau kita sebagai harapan mereka tidak mempunyai kemantapan dalam ilmu dan sebagainya, bagaimana untuk kita membimbing mereka. Adakah kita ingin sampaikan ilmu yang dari lintasan hati kita, bukan daripada ilmu yang kita telah dipelajari.
Apabila kita sampai ke bumi Mesir ini kita seolah-olah lari turun dari Bukit Uhud. Lupa akan janji-janji yang telah kita lafazkan. Renunglah sahabat-sahabat.

" Hamba aku yang paling aku sayangi ialah yang paling banyak diuji ". (Hadis Qudsi).
Tanda Allah s.w.t sayang akan hambaNya ialah dengan diberikan ujian. Cuba kita lihat para nabi, semuannya diuji oleh Allah s.w.t, bahkan ujian yang mereka terima lebih berat dari apa yang kita tempuhi pada hari ini.
Cuba kita perhatikan pula firaun laknatullah, dia tidak pernah diuji oleh Allah s.w.t hatta dia tidak pernah merasai sakit sepanjang hidupnya.
Sahabat-sahabat, hari ini kita diuji oleh Allah s.w.t. Tidak lain tidak bukan ujian ini ialah untuk menguatkan lagi semangat kita semua, ingat sahabat-sahabat kita sekarang ini berada dibumi dimana Nabi Allah Yusof a.s diuji, begitu juga Nabi Allah Musa a.s diuji. Janganlah sahabat-sahabat futur (putus asa) dek kerana ujian yang kecil ini.

" Allah s.w.t tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya ", Surah Al-Baqarah, ayat 286.
Sahabat-sahabat, ini menunjukkan bahawa kita kuat. Kemampuan kita mungkin lebih daripada orang lain, hanya Allah s.w.t sahajalah yang tahu.
Sama-samalah kita ambil i'tibar dan pengajaran daripada peristiwa yang berlaku ini. Bukanlah tulisan aku ini hendak mengata dan mengajar kepada sahabat-sahabat, tidak lain tidak bukan ia adalah sebagai renungan dan muhasabah untuk diri penulis yang lemah ini.

Marilah kita teruskan berdoa kepada Allah s.w.t supaya dipermudahkan segala urusan ini.
Sama-sama jugalah kita berdoa mudah-mudahan Allah s.w.t memberi hidayah dan petunjuk kepada mereka-mereka yang berusaha untuk menyusahkan dan menjatuhkan kita.




Aubidullah Fahim Ibrahim,
Teratak 3 Syari' Sharobeam Beshay,
Shoubra Kaherah Mesir.

Saturday, May 1, 2010

ISU KENAIKAN NAMA

Bukanlah menjadi suatu kepelikan apabila kita terdengar orang yang menuntut ilmu agama dihalang dan dipermainkan oleh pihak-pihak yang tertentu.
Suatu ketika dahulu di Malaysia, kita digegarkan dengan isu penutupan Sekolah Agama Rakyat (SAR) oleh kerajaan pusat. Alasan yan digunakan ialah kerana, institusi ini digunakan untuk melahirkan seseorang/ masyarakat yang akan menentang kerajaan.

Pada hari ini, mahasiswa/wi dibumi kinanah ini telah dilabelkan sebagai pembangkang kerajaan.
Politik yang mereka amalkan itu cukup kotor dan busuk, adakah patut sehinggakan mereka yang ingin belajar turut menjadi mangsanya. Busuknya sudah sampai ke usus.

Isu terbaru yang berlaku ialah isu kenaikan (muqayyad) nama mahasiswa/wi tahun satu qiraat. Bagi aku, ini ialah isu yang terbesar dan terpenting kerana ia melibatkan pengajian mahasiswa/wi dengan pihak Universiti Al-Azhar dan melibatkan pengajian utama kami.

Mengikut laporan yang dibuat oleh pihak Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) Shoubra, pihaknya telah menghantar file mahasiwa/wi yang mengandungi syahadah, medical check-up, surat pengesahan dan beberapa dokumen lain lagi ke pejabat JPMK sejak bulan Januari lagi, akan tetapi bila pihak DPM bertanya di Idarah Wafidin Al-Azhar, mereka mengatakan file mahasiwa/wi ini belum sampai ke tangan mereka. Persoalannya, dimanakah file ini berada selama berbulan-bulan ?.

Tujuan utama penubuhan Jabatan Penuntut Kaherah Mesir (JPMK) adalah untuk memudahkan urusan-urusan mahasiswa/wi yang menuntut disini, bukan untuk membebankan. Akan tetapi, hakikatnya yang berlaku adalah sebaliknya.
Jikalau ini yang berlaku, lebih baik tidak ditubuhkan JPMK ini.

Dalam hal ini, adalah sangat mustahil untuk kita mempersalahkan pihak Universiti Al-Azhar. Universiti Al-Azhar adalah sebuah universiti yang tertua didunia akan menerima sesiapa sahaja yang berhasrat untuk menuntut ilmu dengannya.
Sahabat aku dari Brunei yang datang bersama dengan aku telah muqayyad namanya di maahad sejak Januari lagi. Akan tetapi kami, mahasiswa/wi Malaysia sampai kehari ini belum ada hitam putihnya.

Nasihat aku kepada JPMK ialah, jangan anda cuba bermain-main dengan api. Kami tidak mahu bersikap melampaui batas dalam hal ini. Cukuplah sekadar desakan-desakan untuk menyedarkan anda dari dibuai mimpi.
Tolonglah ambik cakna terhadap urusan-urusan yang penting ini. Jangan hanya sibuk memikirkan untuk menjatuhkan mahasiswa/wi sahaja.

Akhir sekali, kami memohon kepada Allah swt supaya memudahkan segala urusan-urusan dan masalah ini dapat diselesaikan dengan segera.
Perkara ini berlaku kerana ada hikmah disebaliknya. Mungkin dilain waktu akan ku ulaskan mengenainya, supaya ianya dapat diambil i'tibar oleh sahabat-sahabatku sekalian.

Wallahua'lam..


Aubidullah Fahim Ibrahim,
Teratak 3 Syari' Sharobeam Beshay,
Shoubra Kaherah Mesir.