Tuesday, December 8, 2009

JAULAH SEKITAR KAHERAH 2

" Demi tuhan saya lebih tahu keadaan tentera Islam daripada saudara kerana saya pernah bergabung dengan mereka. Saya belum pernah melihat kekuatan yang bukan sahaja kerana jumlahnya yang banyak, namun kerana disiplin dan semangat jihad mereka. Pada waktu malam, mereka beribadat sepanjang malam dan pada waktu siang mereka bagaikan singa lapar " (Raja Reymond).
Raja Reymond ialah salah seorang raja negeri salib ketika itu. Kata-kata itu menggambarkan betapa kuatnya tentera Islam ketika itu yang dipimpin oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi RahmatuLLAH 'Alaih.

Siapakah Sultan Salahuddin al-Ayyubi RahmatuLLAH 'Alaih ini ?
Kenapakah beliau digelarkan ' Penakluk kota Jerusalem ' ?
Disini aku cuba huraikan serba ringkas biodata beliau.
-Sultan Salahuddin al-Ayyubi dilahirkan pada 532 Hijrah bersamaan 1138 Masihi di Kota Tarkit iaitu bahagian Tebing Barat Sungai Tigris, terletak di antara Mosul dan Baghdad.
-Ayahnya, Najmuddin Ayyub bin Shadhi, ialah gabenor wilayah Baalbek.
-Salahuddin menerima latihan ketenteraan daripada bapa saudaranya, Panglima Asadudin Syirkuwah yang juga ketika itu merupakan panglima kepada Sultan Nurudin Mahmud Zanky.
-Ketika berusia 17 tahun, Salahuddin al-Ayyubi mula berkhidmat dengan Sultan Nurudin di Damsyik. Beliau adalah panglima tentera, pemimpin dan pentadbir negara yang sangat berbakat dan sangat popular ketika zaman perang salib. Beliau membabitkan diri dalam peperangan salib di kawasan Mesir, Palestin dan Syria.
-Dalam bulan Zulkaedah 570 Hijrah (Mei 1175 Masihi), khalifah Abbasiyyah mengisytiharkan Salahuddin al-Ayyubi sebagai Sultan Mesir dan menggelarkan dirinya sebagai Sultan al-Islam wa al-Muslimin.
-Beliau betul-betul menjadi seorang yang sangat mencintai agama Islam. Cita-cita beliau adalah untuk merebut kembali Baitul Maqdis dari kekuasaan tentara Kristian. Untuk mencapai tujuan tersebut, Salahudin bercita-cita untuk memperkuat tentera Islam.
-Beliau digelar ' Penakluk kota Jerusalem 'kerana beliaulah yang memimpin tertera Islam membebaskan Baitul Maqdis pada 2 oktober 1187 dari tangan tentera salib yang telah menguasainya selama 88 tahun.
-Beliau meninggal dunia pada 27 Safar 589 Hijrah (1193 Masihi) pada usia 55 tahun di Damsyik, Syria selepas memerintah selama 25 tahun. Beliau sakit selama 14 hari sebelum menghembuskan nafas terakhir.


Alhamdulillah dalam jaulah Kaherah kali ini, aku sempat dibawa melawat Qal'ah Sultan Salahuddin Al-Ayyubi RahmatuLLAH 'Alaih. Qal'ah dalam erti kata ialah kubu/ benteng perang. Mengikut riwayat, Qal'ah Salahuddin ada 3. Pertama di Kaherah, kedua di Toba, dan ketiga Jordan. Akan tetapi Qal'ah yang berada di Kaherah adalah dibina oleh beliau sendiri, sementara yang lain adalah hasil taklukan beliau.

Kubu ini terletak bersebelahan Bukit Muqattam dan berhampiran dengan Medan Saiyyidah Aisyah. Idea pembinaan kubu ini adalah hasil cetusan Sultan Salahuddin al-Ayyubi sendiri dan pembinaannya dilaksanakan pada tahun 1183M. Baginda melihat bahawa Kota Kaherah begitu luas dan besar, terdedah kepada bahaya dan serangan kerana tidak mempunyai sistem pertahanan kubu yang ampuh sebagaimana di Halab dan Dimasyq, Syiria khususnya semasa perang Salib berlaku.
Pembinaan Kubu yang terletak di atas bukit ini memerlukan asas yang kukuh dan utuh zaman berzaman. Panglima Salahuddin al-Ayyubi telah mengarahkan agar diambil batu yang terdapat di Piramid di Giza, untuk dijadikan sebagai batu asas Kubu tersebut. Kubu ini dikelilingi pagar yang tinggi untuk mengelakkan musuh menceroboh masuk.


Untuk memasuki kubu ini, terdapat beberapa pintu utama diantaranya pintu Fath, pintu Nasr, pintu Khalk dan pintu Luq. Kemudian terdapat saliran air sebagai bekalan kegunaan tentera pada masa itu. Saliran ini bermula dari sungai Nil menghubungi ke kubu Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Apa yang pelik ialah bagaimana air dapat mengalir daripada bawah keatas bukit yang tinggi itu, sedangkan pada zaman itu enjin pam air pun belum dicipta. Begitu hebat senibina pada zaman itu. SubhanAllah...

Sekarang ini, kubu Sultan Salahuddin al-Ayyubi ini dijadikan tempat lawatan oleh kerajaan Mesir. Harga tiket untuk student 25 L.E (RM16), manakala pelancong 50 L.E (RM32). Alhamdulillah aku dapat tiket student punya.

Banyak kesan sejarah yang terdapat di kubu tersebut yang dibina sejak zaman pemerintahan kerajaan Ayubiah dan diluaskan sehinggalah zaman kerajaan Uthmaniyyah. Di bahagian utara kubu ini terletaknya sebuah yang dikenali Masjid Mohammad Ali. Kalau sekali pandang masjid ini lebih kurang sama dengan masjid yang terdapat di Istanbul, Turki.

Terdapat juga di dalam kawasan kubu ini Muzium Polis, Muzium Tentera, Qasrul Jawhara (Muzium Permata) yang mengandungi perhiasan raja-raja Mesir. Terdapat juga Mathaf al-Fan al-Islami (Muzium Kesenian Islam) yang terletak di bab (pintu) Khalk yang menyimpan sekitar ribu barang yang melambangkan kesenian Islam semenjak zaman Nabi Muhammad s.a.w sehingga sekarang antaranya surat Rasulullah s.a.w yang diutuskan kepada pemimipin Mesir ketika itu bernama Maqauqis agar beliau mentauhidkan Allah Taala.

Apabila aku berada di puncak kubu ini aku dapat melihat dengan jelas seluruh bandar Kaherah dan satu perkara yang menarik ialah dapat melihat Piramid.

Terasa lenguh-lenguh kaki setelah hampir 3 jam berjalan-jalan didalam kubu ini, boleh dikatakan semua tempat aku pijaki. Mungkin ini kali pertama dan terakhir aku masuk ke kubu ini kerana bayarannya agak mahal sedikit. Akan tetapi walaupun mahal tetap berbaloi juga.
Semoga dengan lawatanku ini dapat menambahkan semangatku untuk berjuang pada jalan Allah s.w.t sebagaimana Sultan Salahuddin al-Ayyubi berjuang keras untuk membebaskan Baitul Maqdis dan menegakkan panji Islam.

Disini aku ingin menggalakkan membaca buku 'SALAHUDDIN PENAKLUK JERUSALEM' hasil karangan Abdul Latip Talib. Didalam buku ini diceritakan kisah beliau bermula dari remaja hingga beliau meniggal dunia, berapa banyak peperangan yang beliau tempuhi, dan sebagainya.

" Sesiapa yang menguasai Baitul Maqdis maka dia menguasai dunia "
(Sultan Salahuddin al-Ayyubi)


penulis dihadapan Masjid Mohammad Ali

0 comments: