Tuesday, November 24, 2009

JAULAH MAQAM SEKITAR KAHERAH

Mengenali ulama' akan menambahkan cinta kita kepada mereka. Ianya juga berpautan dan saling bersangkutan dengan cinta kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w telah menjelaskan dalam hadis baginda:
" Ulama' adalah pewaris para nabi "

Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai penuntut ilmu di akhir zaman ini untuk menziarahi mereka ketika masih hidup atau telah meninggal dunia sebagai bukti cinta kita kepada mereka.

Aku masih teringat diantara pesanan ustazku ketika mana sebelum aku melangkah kakiku ke Negeri Kinanah ini (kinanah bererti panahan),
" anta kalu g cno nati sebelum anta g tmpt2 laen, pertamo skali anta kno g ziarah maqam2 sahabat nabi, para ulama', auliyaillah dlu. Terutamanyo maqam ime kito, Imam Syafi'e Rahimahullah. Ana tkut anta tersilap ambk semangat perjuangan jah ".
Begitulah bunyinya nasihat dan pesanannya kepadaku, walaupun ringkas akan tetapi maknanya amat mendalam. Jikalau direnungkan memang benar, agama Islam pada hari ini diruntuhkan oleh penganutnya sendiri.

Ulama dan Auliyaillah di Bumi Mesir ini cukup ramai, jumlah mereka boleh diibaratkan seperti debu2 yang berterbangan apabila ditiup angin. Ada diantara mereka yang berada ditepi2 jalan bekerja sebagai penjahit kasut, penyapu sampah dan sebagainya. Aku teringat satu kisah yang pernah berlaku kepada Imam Ahmad Bin Hambal dan saudara lelakinya (boleh dirujuk sendiri), pada akhir kisah ini ditanya siapakah guru kamu. Maka Imam Ahmad menjawab guruku ialah seorang lelaki yang bekerja sebagai penjahit kasut ditempat sekian sekian. SubhanAllah...

Alhamdulillah pada minggu lepas, kami (pelajar2 baru) telah dibawa oleh AJK Sambutan Mahasiswa Baru menziarahi maqam2 sekitar kawasan Kaherah.

Destinasi pertama kami ialah Masjid Amru Al-Asr r.a, masjid ini merupakan masjid yang pertama dibina di Bumi Mesir ini. Amru Al-Asr r.a ialah salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w, beliau telah membuka kota Mesir iaitu pada tahun 16 Hijrah. Masjid tersebut menjadi pusat utama tumpuan ilmu, dakwah dan pengajian Islam terutamanya pada zaman pemerintahan Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Imam as-Syafie r.a telah memulakan pengajiannya yang pertama di Mesir seterusnya mengembangkan mazhab barunya yang dikenali sebagai Mazhab Jadid di masjid ini.

Seterusnya kami dibawa menziarahi maqam2 disekitar bandar Kaherah.

Untuk pengetahuan anda, maqam ini terdapat 2 jnis.
pertama dikenali sebagai 'dhorih' iaitu maqam yg terdapat jasad didalamnya.
kedua dikenali sebagai 'maqam' iaitu tempat itu mgkn tempat ibadah beliau tetapi tidak terdapat jasad beliau didalamnya.

Maqam pertama yg kami ziarahi ialah, maqam Sayyidah Fatimah Al-Aina'. Merupakan Ahli Bait Rasulullah s.a.w (keturunan Rasulullah s.a.w). Nama penuhnya ialah Fatimah Al-Aina' binti Kasin Attayyib bin Muhammad Al-Makmun bin Jaafar As-Sadiq. Antara keramatnya ialah, pada suatu ketika ada seorang lelaki membaca Al-Quran iaitu dari Surah Al-Kahfi disisi kubur beliau. Lelaki tersebut tersilap dalam bacaannya, tiba-tiba keluar suara dari kubur beliau membetulkan bacaan Al-Quran lelaki tersebut. Beliau wafat pada tahun 240 H.


Seterusnya kami menziarahi maqam Ibnu Hajar Al-Asqalani. Beliau merupakan penulis kitab Fathul Barri. Nama Ibnu Hajar adalah Ahmad bin Ali bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Mahmud bin Ahmad bin Hajar Al-Kannani. Seorang Syeikhul Islam (guru bagi para imam), seorang Hafizh secara mutlak, Amirul Mukminin dalam bidang hadits, diberi gelar atau julukan Syihabuddin dan nama kauniyah (panggilan)nya adalah Abu Al-Fadhl. Beliau telah mengarang lebih dari 100 buah kitab.


Seterusnya maqam Sayyidina Uqbah Bin Amir Al-Juhni r.a. Salah seorang dari kibar sahabat Nabi s.a.w. Pernah menjadi Amir Muawiyah di Mesir. Wafat pada tahun 58 H. Di dalam masjidnya ada serpihan batu Hajar Aswad yang dibawanya semasa beliau datang ke Mesir.

Seterusnya kami menziarahi maqam Rabiatul Adawiah. Seorang ahli sufi perempuan yang merupakan imam bagi seluruh kaum sufi yang datang kemudiannya. Beliaulah yang bertangunggjawab menaikkan taraf kehidupan zuhud yang telah diajar oleh Hassan Al-Basri iaitu dari takut dan pengharapan kepada zuhud kerana cinta. Baginya, 'cinta' yang suci murni itu lebih tinggi kedudukannya dari takut dan pengharapan kerana cinta yang suci tidak mengharap sesuatu. Imam Sya'rani pernah mengatakan bahawa sejadah tempat beliau sujud sentiasa dibasahi oleh air matanya. Beliau hidup sezaman dengan Sufian At-Thauri (Anak Murid Hassan Al-Basri) yang amat masyhur dan sering bertukar-tukar fikiran dengannya. Antara keramatnya ialah : Suatu hari beliau pergi menemui Syaiban Ar-Ra'ei, beliau berkata kepadanya " Aku ingin menunaikan haji", lalu Syaiban Ar-Ra'ei mengeluarkan emas dari poketnya untuk perbelanjaan beliau ke Mekah. Kemudian Rabiah menadahkan pula tangannya ke langit, tiba-tiba dalam genggamamnya dipenuhi dengan emas. Dan beliau berkata," engkau mengambil dari poket akan tetapi aku mengambil nya dari ghaib ". Beliau tidak pernah berkahwin, seluruh kehidupannya dipergunakan untuk berzikir, bertilawah dan wirid. Meninggal dunia tahun 185 H bersamaan 796 M.

Seterusnya maqam Imam Al-Laith. Beliau merupakan seorang ulamak yang telah sampai ke darjat "Mujtahid Mutlak" sepertimana Imam Syafie, Imam Malik, Imam Hanafi, Imam Ahmad bin Hambal. Beliau juga telah mengembangkan mazhabnya sendiri serta telah mempunyai pengikut dan pengaruh tersendiri. Akan tetapi, mazhabnya tidak dapat bertahan lama sebagaimana mazhab-mazhab yang lain. Dikatakan juga beliau lebih faqih dari Imam Malik r.a. Beliau wafat pada hari Jumaat, 14 Syaaban 175 H.

Seterusnya maqam Abdullah Abi Jamrah Al-Andalusi Al-Mursi. Merupakan Imam Al-Qudwah Ar-Rabbani. Kuat berpegang dengan Sunnah Rasulullah s.a.w. Menurut satu cerita, orang yang mengingkari akan pengakuannya bahawa beliau pernah berjumpa dan bercakap-cakap dengan Rasulullah s.a.w dalam keadaan jaga akan ditimpa malapetaka. Diceritakan dari Sheikh Tajuddin Ibnu Ataillah As-Sakandari bahawa beliau pernah bermimpi berjumpa Rasulullah s.a.w . Rasulullah telah berkata kepadanya: " Aku telah menziarahi sultan yang menguasai timur dan barat ". Lalu beliau bertanya: " Wahai Rasulullah, siapakah yang menguasai timur dan barat itu ?". Lalu Rasulallah s.a.w menjawab:" Dia ialah Abdullah bin Abi jamrah ". Wafat pada tahun 675 H.

Seterusnya kami menziarahi maqam Imam mazhab kami iaitu maqam Imam As-Syafie'. Nama penuh beliau ialah Abu Abdullah Muhamad bin Idris bin Al- Abbas bin Usman bin Syafei bin As-Sa'id bin Abid bin Abd. Yazid bin Hasyim bin Abd. Mutalib bin Abd. Manaf bin Qusai. Nasab beliau bertemu dengan Rasulullah s.a.w pada Abd. Manaf. Dilahirkan di Ghazza pada tahun 150 H. Iaitu tahun di mana Imam Abu Hanifah meninggal dunia. Ketika berusia 2 tahun, ibunya membawa beliau ke Mekah. Merupakan seorang ahli Fiqh, Hadis, Lughah, Penyair, Sasterawan dan pengasas ilmu Usul Fiqh. Wafat pada malam Jumaat bulan Rejab tahun 204 H. Ditepi maqam ini terdapat satu tapak kaki, diceritakan bahawa tapak kaki ini ialah tapak kaki Rasulullah s.a.w. Apabila aku mencium tapak kaki ini, SubhanAllah berbau harum semerbak kasturi. Dalam satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w akan menziarahi maqam ini setiap hari Jumaat selepas waktu asar. Di dalam masjid Imam Syafie juga kelihatan 2 buah maqam yang muktabar iaitu makam Syeikh Zakaria Al-Ansari dan Muhamad bin Abdullah Al-Hakam.

Seterusnya maqam Ibn Ataillah As-Sakandari. Khalifah Tarikat Syazaliyyah yang ke-3. Nama penuhnya ialah Ahmad bin Muhammad bin Ataillah Tajuddin As-Sakandari Al-Maliki. Anak murid Abu Abbas Al-Mursi. Menghasilkan karya yang banyak antaranya yang berharga yang telah beliau tinggalkan ialah: Al-Hikam,Tajul Arus, Allah Al-Qasdul Mujarrab, Laitul Manan. Kitab beliau Al-Hikam adalah kitab yang paling banyak disyarahkan oleh para alim ulamak Islam. Merupakan juga kitab tasawuf yang paling banyak disyarahkan sehingga sebahagian ulamak mengira bahawa Syarah Kitab Al-Hikam mencapai angka 30 buah kitab. Merupakan guru kepada Syeikh Taqiyuddin As-Subki.

Seterusnya kami dibawa menziarahi maqam wali shorir (kecil). Nama beliau ialah Ashraf Rifai Al-Husaini. Ketika berumur 3 tahun telah menghafal Al-Quran dan telah didengar (tasmie') oleh sheikh-sheikh Al-Azhar dan mendapati bahawa bacaan beliau tiada salah. Boleh bertutur dalam bahasa arab fushah. Wafat ketika berumur 4 tahun.

Jaulah kami berhenti berehat seketika di Masjid Ibn Ataillah As-Sakandari. Kami solat dan menjamu sedikit makanan yang telah dibawa. Sebenarnya banyak lagi maqam2 yang sempat kami ziarahi, akan tetapi tidak dapat aku tuliskan disini.

Dengan menziarahi maqam-maqam ini, moga kami dapat mengambil semangat perjuangan para Ulama' dan Salafussoleh. Perjuangan dan semangat mereka menuntut ilmu sepatutnya menjadi sumber inspirasi kami dalam meneruskan perjuangan di Perlembahan Nil ini. Mudah-mudahan dengan keberkatan memuliakan mereka, maka pada suatu hari nanti Allah s.w.t akan memuliakan pula dengan menjadikan kami salah seorang diantara mereka.

Perjalanan kami seterusnya ialah Qal'ah (kubu perang) Sultan Salahuddin Al-Ayyubi atau lebih dikenali dengan 'penakluk kota Jerusalem'. InsyAllah akan disambung ke episod seterusnya...

0 comments: